Thursday, April 23, 2015

Jom main dengan bayi anda! (sesuai untuk umur 0-12 bulan)

Bayi anda pasti sukakan permainan-permainan mudah berikut yang turut membantu dalam perkembangannya. Jom kita cuba!!

0-3 bulan

  • Tiru
    Bayi anda suka mendapat peluang untuk melihat wajah anda dan permainan ini akan membantu menajamkan kemahiran penglihatannya. Pegang bayi anda dekat-dekat – dia boleh fokus paling baik pada kira-kira 20–35 cm dan apabila dia melihat ke dalam mata anda, perlahan-lahan jelirkan lidah. Buat ini setiap kira-kira 20 saat. Ia mungkin mengambil masa seminit dua tetapi selepas seketika anda akan perasan dia menjelirkan lidahnya kembali kepada anda. Dia akan cuba meniru ekspresi muka yang lain juga seperti senyuman lebar atau mulut yang ternganga.

  • Golek dan regang
    Bayi anda yang sedang berkembang tidak lama lagi akan boleh mengangkat kepalanya selama satu atau dua saat semasa meniarap. Jika dia gembira dalam posisi ini, golekkan sebji bola yang berwarna terang melintasi garis penglihatannya kira-kira 60 cm (2 kaki) daripada badannya. Sebagai permulaan, dia akan menumpukan perhatian melihat bola tetapi tidak lama kemudian dia akan cuba untuk mencapainya. Ini akan membantu menguatkan otot-otot leher, lengan dan kakinya. Sentiasa berikan dia banyak pujian dan habiskan permainan sebaik sahaja dia mula rasa bosan.

3-6 bulan

  • Tangkap saya
    Sambungkan satu mainan lembut yang kecil kepada reben yang berwarna cerah. Gantungnya di hadapan bayi anda dan buatkan ia berayun. Apabila dia cuba menyentuh atau mengambilnya, berikan dia banyak pujian. Mainan yang berkuek juga akan mendorong bayi anda untuk mencapai dan memegang, dan membantu dia berlatih koordinasi tangan-mata.

  • Mulut murai
    Berbuallah bersama-sama! Bayi anda suka berinteraksi dengan anda dan apabila dia semakin pandai membuat bunyi, berikan respon kepada agahannya untuk membantu menggalakkan perkembangan pertuturannya. Dudukkannya dia menghadap anda dan apabila dia berkata “aahh”; balas dengan “aahh”. Galakkan dia untuk meniru anda juga. Cuba, contohnya, panjangkan bunyi: daripada “bah” sebutlah “baaaaah”. Atau anda juga boleh menambah bunyi baru kepada bunyi yang dia sudah biasa seperti “ooh-baaahh”.

  • Buih magik
    Semua bayi sukakan buih. Dudukkan dia di atas kerusi enjut atau kerusi kereta dan gunakan mainan meniup buih yang ringkas untuk meniup buih di sekelilingnya. Lihat bagaimana dia menjejaki buih-buih itu dengan matanya apabila ia terapung ke bawah. Tiup buih apabila dia berada diluar di dalam kereta sorongnya juga. Jika dia menangkap satu buih, dia akan belajar mengenai sebab dan akibat – sentuh dan buih akan meletup! (Jangan lupa cuci tangannya selepas bermain supaya air bersabun tidak masuk ke matanya).

6-9 bulan

  • Pertunjukan boneka
    Buat beberapa boneka jari yang mudah daripada guntingan sarung tangan dan berikannya telinga, mata dan mulut menggunakan cebisan kain felt. Tunjukkan kepada bayi anda bagaimana anda boleh membuat boneka itu menyanyi, menari, menggeletek dan mencium! Dia pasti suka melihat boneka itu “hidup” dan dengan berpura-pura bahawa boneka itu betul akan membantu mengembangkan daya imaginasinya.

  • Masuk dan keluar
    Bayi anda suka mengosongkan segala-galanya! Laci, beg duit anda, kotak tisu dan beg. Tukarkan ini kepada permainan yang anda berdua boleh mainkan. Penuhkan satu bekas plastik besar dengan objek-objek yang menarik dan selamat seperti blok, mainan lembut yang kecil, mainan bergetar atau cawan pengukur. Bantu bayi anda mengangkat bekas itu dan menterbalikkannya, kemudian bersama-sama penuhkan bekas itu semula. Menangani objek-objek berlainan akan membantunya belajar mengenai saiz, bentuk dan berat, di samping memperkenalkan konsep matematik awal seperti besar dan kecil, kosong dan penuh.

  • Taman pengembaraan
    Jika bayi anda sudah semakin lasak, binalah taman rintangan kecil daripada kusyen. Tunduk atau merangkak dan jenguk ke luar dari belakang kusyen, atau guna mainan untuk menggalakkan bayi anda memanjat ke atasnya. Permainan yang menyeronokkan ini akan membantu memperkembangkan kekuatan, keseimbangan dan koordinasi badannya.

9-12 bulan

  • Tendang bola
    Bayi anda tidak perlu sudah pandai berjalan untuk bermain bola sepak. Letakkan sebji bola ringan yang bersaiz sederhana di hadapan anda, pegang bayi anda dengan kejap di bawah lengannya, angkat dan hayunkan dia ke hadapan supaya kakinya menyentuh bola. Bantu dia menendangnya di lantai atau taman. Menghayun kakinya membantu bayi anda menguatkan otot-otot perut dan kaki dan mempersiapkannya untuk bermain bola sepak sebenar apabila besar nanti!

  • Kekuatan menara
    Kumpulkan beberapa kotak bijirin sarapan, buku-buku ringan, mangkuk plastik, bekas yogurt dan blok mainan bayi, kemudian binalah sebuah menara bersama-sama. Apabila sudah siap, ambil giliran untuk meruntuhkannya. Bayi anda pasti suka melihat menara itu runtuh, sambil belajar mengenai saiz dan bentuk.

  • Tengoklah saya!
    Bayi anda suka meniru perbuatan anda. Jika dia lihat anda sibuk menyikat rambut atau mengelap muka, dia akan cuba meniru apa yang anda lakukan. Ubah gerak hati ini menjadi permainan yang menyeronokkan dengan membuat aksi-aksi seperti menepuk paha, meletakkan tangan anda di atas kepala dan mengembungkan pipi. Cipta lagu kelakar untuk disertakan dengan aksi-aksi anda dan dia akan belajar beberapa perkataan baru juga. Belajar meniru ialah satu daripada langkah pertama ke arah permainan khayalan.
kredit babycenter.com.my

Dapatkan pelbagai jenis permainan dan barangan bayi yang sesuai untuk bayi anda di Amni Little Shop. Hubungi +60176210334 untuk tempahan.

Wednesday, April 22, 2015

Cara menenangkan bayi yang menangis

Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk cuba menenangkan bayi yang menangis. Tidak semuanya berkesan untuk semua bayi, jadi anda perlu memahami bayi anda sedikit demi sedikit untuk mengetahui apa yang sesuai baginya dan bagi anda.

Bedungkan dia dan peluk dengan kuat Bayi baru lahir menunjukkan kegemaran untuk rasa rapat dan selamat, sama seperti masa di dalam rahim, jadi anda mungkin mahu cuba membedungkan bayi anda dengan selimut dan memerhatikan samada dia suka dibedung. Ramai ibu dan bapa juga mendapati bahawa memeluk bayi rapat, terutama sekali apabila bayi boleh mendengar denyutan jantung ibu bapa, atau meletakkan bayi dalam gendongan menyamankan. Sesetengah bayi yang lain pula mungkin merasa bedung terlalu menyekat dan lebih sukakan lain cara untuk ditenteramkan seperti dibuai atau dinyanyikan.
Dapatkan ritma yang sekata
Dalam rahim, bayi anda boleh mendengar denyutan jantung anda: itu satu sebab bayi masih suka dipeluk rapi. Walau bagaimanapun, bunyi-bunyi lain yang teratur dan berulang boleh juga mendatangkan kesan tenteram. Anda boleh cuba memainkan muzik yang lembut atau menyanyi senandung buaian. Ramai ibu bapa mendapati yang bayi mereka boleh mendengar ritma mesin basuh yang teratur atau bunyi bercorak 'hingar putih' yang dihasilkan oleh pembersih vakum atau pengering rambut, yang dapat membuatkan mereka tertidur. (Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda di atas mesin basuh atau pengering kain pada bila-bila masa sekalipun. Sebaliknya, letakkan dia di atas lantai berdekatan dengan mesin tersebut.)

Buai-buaikan bayi
Kebanyakan bayi suka dibuai perlahan-lahan, dan anda mungkin dapati bahawa bayi anda boleh ditenangkan dengan cara ini, iaitu samada dengan mendodoinya sambil berjalan atau meletakkannya di pangkuan sambil anda duduk di kerusi goyang. Buaian bayi yang khas atau kain gendong tradisional boleh menenangkan sesetengah bayi, manakala sesetengah yang lain pula lebih selesa jika bergerak dengan laju dan terus tertidur apabila dibawa berjalan dalam kereta.

Cuba kaedah urutan Mengurut bayi atau menggosok belakang atau perutnya dengan perlahan boleh membantu menenangkannya. Jika anda nampak dia seperti dalam kesakitan akibat  angin, cuba susukan dia dalam posisi tegak dan tepuk belakangnya dengan lembut selepas penyusuan dengan menyandarkannya di bahu anda. Bayi yang menghidap kolik kadang-kala rasa selesa jika perut mereka digosok, dan anda pun akan berpuas hati sebab sekurang-kurangnya telah mencuba membantu bayi yang cemas.

Biarkan dia menghisap sesuatu
Bagi setengah bayi baru lahir, dorongan untuk menghisap amat kuat dan menghisap puting atau jari (yang bersih) atau ibu jari boleh mendatangkan memberi ketenangan. "Hisapan penyelesa" boleh mengaturkan kadar denyutan jantung bayi, merelakskan perutnya dan membantu dia bertenang.


Jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap diri anda
Bayi yang menangis tidak berhenti-henti tidak akan memudaratkan dirinya dalam jangka masa panjang, tetapi mungkin menyebabkan banyak stress dan kebimbangan bagi ibu bapanya. Jika bayi anda kelihatan tidak gembira dan menolak sebarang usaha anda untuk menceriakan atau menenangkannya, ini mungkin membuatkan anda rasa kecewa. Ibu bapa sering menyalahkan diri sendiri. Mereka merasakan bahawa ketidakcekapan mereka sebagai ibu bapalah yang menyebabkan bayi mereka menangis. Tetapi ini bukan hakikatnya.

Jika anda sudah pasti keperluan bayi anda telah dipenuhi dan tiada perkara fizikal yang menyebabkan bayi anda menangis, dan jika anda telah mencuba segala-galanya untuk menenangkannya tetapi tiada yang berhasil, sudah tiba masanya bagi anda menjaga diri sendiri supaya anda tidak rasa tertewas. Di sini diberikan beberapa cadangan:

  • Tarik nafas panjang.
  • Letakkan bayi anda di satu tempat buat sementara dan biarkan dia menangis untuk seketika tanpa didengari oleh anda.
  • Jika membantu, mainkan muzik yang nyaman dan relakskan diri sendiri untuk 10 minit.
  • Panggil kawan atau saudara untuk mendapatkan sokongan. Berehatlah buat sementara dan biarlah orang lain menjaga bayi anda untuk sekejap.
  • Cari kumpulan sokongan atau kumpulan ibu-dan-bayi di mana anda boleh berkongsi perasaan anda dan berbincang dengan ibu bapa baru yang lain tentang cara untuk menangani tangisan bayi.
  • Ingatkan diri anda bahawa bayi anda tiada mempunyai sebarang masalah dan tangisan itu tidak akan mencederakan dia. Kadangkala cuma dengan menerima kenyataan yang anda mempunyai bayi yang banyak menangis akan membantu, sebab anda tidak akan membuat diri anda letih dengan mencari-cari sebab-sebab tangisan itu, menyalahkan diri anda, atau melakukan pelbagai rawatan yang tidak berkesan. 
  • Ingatkan diri anda bahawa ini fasa sementara dan akan berlalu.

Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir merupakan tugas yang berat. Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir yang banyak menangis adalah tugas yang lebih berat lagi. Dapatkan bantuan dan sokongan apabila anda memerlukannya, jangan tunggu sampai masalah itu menjadi teruk. Dan bertenanglah dengan mengingatkan bahawa setiap hari, apabila bayi semakin membesar, dia akan mempelajari cara-cara baru untuk mengkomunikasikan keperluan dia kepada anda. Secara perlahan-lahan, apabila dia mula berbuat demikian, tangisan itu akan berhenti.

Tuesday, April 21, 2015

Kenapa bayi menangis?


Semua bayi menangis pada masa-masa tertentu. Mereka perlu menangis. Bayi bergantung kepada orang lain untuk memberi mereka makanan, kepanasan dan keselesaan yang mereka perlukan. Tangisan adalah cara bayi memberitahu bahawa mereka perlukan sesuatu.

Sebagai ibu atau bapa baru, ada masanya anda mendapati sukar untuk menentukan apakah yang bayi anda perlukan. Adakah dia lapar, sejuk, haus, bosan atau sekadar mahu dipeluk? Dalam beberapa hari pertama, semasa anda belum tahu bagaimana hendak mengenal pasti keperluan bayi anda, tangisan ini boleh membuat anda rasa bimbang. Namun begitu, lambat laun anda akan mula mengecam gaya tangisannya yang berlainan dan setelah anda lebih mengenalinya, anda akan dapat memenuhi keperluannya.

Sebab-sebab biasa bayi menangis ada disenaraikan di bawah. Jika bayi anda sukar ditenangkan, cubalah panduan ini satu persatu.


1. Saya perlukan makanan
Lapar adalah sebab utama bayi menangis. Bayi yang lebih kecil lebih berkemungkinan menangis kerana lapar, kecuali dalam tempoh satu atau dua hari selepas dilahirkan kerana pada ketika ini dia hanya minum sedikit sahaja. Jika anda mengamalkan penyusuan badan, anda mungkin sedar akan perkara ini, kerana susu awal atau kolostrum yang sangat pekat dikeluarkan dalam jumlah yang sedikit. Anda juga mungkin sedar bahawa susu mula keluar dengan banyak sekitar hari ketiga.
Perut bayi yang kecil tidak dapat menyimpan begitu banyak. Oleh itu, dia akan kerap lapar. Jika bayi anda menangis, cuba berikan dia susu kerana besar kemungkinan dia sedang lapar. Dia tidak akan berhenti menangis dengan serta merta, tapi teruskan penyusuan jika dia mahu, dan dia akan mula bertenang apabila perutnya terisi.
Walau bagaimanapun, jika bayi anda sudah disusukan dan dia masih menangis, mungkin dia menyatakan keperluan seterusnya.


2. Saya perlukan keselesaan
Bayi sudah tentu akan membantah jika baju mereka terlalu ketat atau jika lampin kotor membuatkan mereka rasa tidak selesa. Setengah bayi tidak begitu cerewet. Lampin yang penuh mungkin tidak mengganggu mereka. Tetapi sesetengah bayi akan menjerit dan minta lampin ditukarkan dengan segera, terutama sekali jika kulit mereka terasa gatal atau tidak selesa.
Memeriksa lampin bayi dan menukarkannya mungkin akan memenuhi keperluannya, jadi eloklah dicuba. Ia juga memberi peluang untuk anda memeriksa yang lampinnya tidak terlalu ketat atau tiada perkara lain melibatkan pakaiannya yang membuatkan dia tidak selesa.


3. Saya perlu kehangatan - tidak terlalu panas atau terlalu sejuk
Setengah bayi baru lahir tidak suka ditukarkan lampin atau dimandikan. Mereka tidak biasa merasa udara menyentuh kulit mereka dan lebih suka dibalut panas. Jika bayi anda seperti ini, anda akan cepat tahu bagaimana hendak menukarkan lampin dengan segera supaya bayi anda boleh bertenang semula.
Berhati-hatilah supaya tidak memakaikan terlalu banyak lapis baju, sehingga dia akan terlalu panas. Satu petua ialah dengan mengingati yang dia memerlukan satu lapis pakaian lebih daripada anda untuk rasa selesa. Jika dia berada di katil bayi atau bakul bayi, cuba gunakan cadar atau selimut berlubang-lubang sebagai alas tilam dan bukannya selimut tebal supaya anda boleh menambah atau membuang satu lapisan apabila perlu. Anda boleh memeriksa samada bayi anda terlalu panas atau sejuk dengan menyentuh perutnya: jika dia terasa terlalu panas, buangkan satu lapisan selimut, jika dia sejuk, tambah satu. Jangan berpandu kepada suhu tangan atau kakinya kerana adalah normal bagi kaki dan tangan terasa agak sejuk.


Kebanyakan farmasi di Malaysia ada menjual termometer. Anda boleh menggunakannya untuk mengambil suhu badan bayi jika kurang pasti. Kekalkan suhu di bilik bayi anda pada 24 atau 25 darjah C, dan letakkan dia menelentang dengan kaki di hujung katil bayi supaya dia tak boleh bergolek sehingga tenggelam di bawah selimut dan menjadi terlalu panas.


4. Saya perlu dipeluk
Setengah bayi sangat suka dipeluk dan dimanjakan. Bayi yang lebih besar akan menjadi tenang jika dia boleh nampak anda dan mendengar suara anda dalam bilik, tetapi bayi yang baru lahir lebih memerlukan sentuhan fizikal untuk menjadi selesa. Jika anda telah memberi bayi makan dan menukar lampinnya, anda akan dapati bahawa sekarang dia hanya mahu dipeluk.
Setengah ibu dan bapa bimbang bayi mereka akan menjadi terlalu manja jika didukung berlebihan, tetapi sebenarnya, dalam bulan-bulan pertama kehidupannya, perkara ini agak mustahil. Sesetengah bayi tidak perlu terlalu banyak sentuhan fizikal, manakala yang lain mahu dipeluk hampir sepanjang masa. Jika bayi anda perlu banyak didukung, anda mungkin mahu mencuba gendongan bayi, yang membolehkan bayi berada rapat dengan anda dan membebaskan tangan anda untuk membuat kerja lain. Ini mungkin jalan terbaik bagi anda berdua. 


5. Saya perlukan rehat
Memang mudah bagi kita menyangka yang bayi akan tertidur apabila mereka mengantuk, tidak kira di mana mereka berada kerana kebanyakan bayi berbuat demikian. Tetapi, jika bayi anda telah mendapat terlalu banyak perhatian - mungkin hari itu sibuk dan ramai pelawat datang ke rumah - dia mungkin terlalu terangsang dan mendapati sukar untuk "tutup suis" dan bertenang.
Bayi baru lahir mendapati sukar untuk mengurus rangsangan yang terlalu banyak pada satu-satu masa hingga boleh menjadi gelisah. Cahaya lampu, bunyi bising dan saudara mara yang masing-masing mahu menarik perhatiannya cukup membuatkan dia resah.
Ramai ibu bapa mendapati bayi menangis lebih daripada biasa apabila saudara mara datang melawat, atau apabila petang menjelma. Jika anda tidak nampak sebab tertentu mengapa bayi anda menangis, dia mungkin cuba memberitahu anda, "Saya dah tak tahan lagi". Jika anda bawa dia ke tempat yang tenang dan senyap, kurangkan ransangan secara perlahan, dia mungkin akan mengeskspresikan perasaannya dengan menangis sekejap sebelum betenang dan terus tidur.


6. Saya perlukan sesuatu untuk membuat saya rasa lebih sihat
Jika anda telahpun memberi bayi makan dan memastikan dia selesa, tetapi dia masih terus menangis, anda mungkin tertanya-tanya samada dia sakit atau mengalami kesakitan. Mereka yang baru bergelar ibu atau bapa sering mendapati sukar untuk mengetahui samada bayi mereka menangis kerana dia adalah bayi yang tidak gembira (sesetengah bayi begitu, dan mereka mengambil masa yang panjang untuk menyesuaikan diri untuk hidup di dunia) atau samada memang ada sesuatu yang tak kena.
Bayi yang sakit lazimnya menangis dengan suara yang berlainan daripada tangisan biasa. Tangisan kesakitan mungkin berbunyi cemas atau nyaring.
Begitu juga dengan bayi yang sering menangis; sekiranya dia mula diam, ini mungkin petanda yang dia kurang sihat. Yang paling penting untuk diingati ialah tiada siapa yang mengenali bayi anda seperti anda sendiri. Jika anda rasa mungkin ada masalah tertentu, hubungilah pakar pediatrik atau doktor keluarga anda.
Pakar perubatan profesional lazimnya akan menimbangkan kebimbangan anda secara serius, dan anda akan merasa lebih tenang jika diberitahu tiada sebab fizikal bayi anda menangis. Anda perlu menghubungi doktor jika bayi anda mengalami kesesakan nafas apabila menangis, atau jika tangisan diikuti dengan:

  • muntah-muntah
  • cirit-birit
  • sembelit

7. Saya perlukan sesuatu ... tetapi saya tak tahu apa yang saya mahu
Kadang-kala anda mungkin tidak dapat menduga apakah masalahnya apabila bayi anda menangis. Ramai bayi baru lahir melalui masa-masa apabila dia meragam dan sukar dipujuk. Keadaan tidak gembira atau tangisan yang sukar dipujuk ini boleh berlangsung selama beberapa minit atau beberapa jam. Tangisan yang tidak berhenti selama beberapa jam ini juga dikenali sebagai kembung atau kolik.

Kembung atau kolik didefinisikan sebagai tangisan yang tidak dapat ditenangkan yang berlangsung selama sekurang-kurangnya tiga jam sehari, tidak kurang daripada tiga hari dalam seminggu. Ramai ibu bapa mendapati sukar untuk menguruskan bayi yang menghidap kolik, dan keadaan itu boleh menyebabkan ketegangan bagi seluruh keluarga.

Tiada rawatan ajaib bagi kolik, tetapi keadaan itu tidak akan berlanjutan lebih dari tempoh tiga bulan. Jika anda sentiasa boleh mengingatkan bahawa keadaan bayi anda itu akan pulih apabila dia membesar, anda mungkin rasa lebih lega.

 sumber daripada www.babycenter.com.my

========================================================================

 

untuk mendapatkan produk mainan bayi yang mampu membuat bayi terleka dan menenangkan mereka, anda boleh buat tempahan melalui whatsapp di +60176210334. 

 atau kunjungi Amni Little Shop untuk pelbagai produk dan permainan yang menarik untuk bayi anda!

My first post

Assalamualaikum.
Ok akhirnya tercapai juga hajat nak buat blog walaupum blogspot je. Newbie sgt. Lepas ni kalau dah pandai boleh la upgrade sikit kan.

So basically kt dlm blog ni akan dipenuhi dgn aktiviti kami sekeluarga melayan si kecik ni ha.. yg tak reti duduk diam. Tambah pulak baru pandai jalan. Orang tua-tua kata baru dapat kaki..

So diharap dapat istiqamah dalam menulis dan update blog ni. hehee. Meh pakat support saya yg baru nk belajar ni :)